Kesah al-quran by Badar_21
Bukan Hanya Hiburan dan LaraKesah Quran
Gaya al-Qur'an apabila membicarakan sesuatu peristiwa, ia tidak memberikan pemerincian tentang tanggal dan saat terjadinya. Yang dipaparkan adalah tafsirannya, termasuk pengajaran dan petunjuk buat khalayaknya. Pendekatan al-Qur'an umumnya bersifat holistik dalam erti sorotannya tidak terpusat hanya pada gerak adegan lahiriah di pentas sejarah, tetapi menerobos hingga ke pendalaman jiwa dan minda pelaku-pelakunya.
Dengan demikian pemeriannya adalah utuh dan menyeluruh, tidak terbatas dan tidak cuma bersifat serpihan. Sejarah bukanlah peristiwa-peristiwa kebetulan, yang tidak dapat difahami hujung pangkal sebab dan akibatnya. Sesuatu peristiwa sejarah tidak terjadi secara sewenang-wenang, tetapi berlaku menurut aturan tetap ketuhanan, aturan Ilahi yang terjelma dalam hukum sebab akibat. Itulah yang dinamakan sunnatu'llah, undang-undang Tuhan yang tidak berubah. Apabila segala faktor telah terkumpul, maka berlakulah kehendak Allah.
Memang perilaku manusia sendiri merupakan faktor utama terjadinya peristiwa sejarah, bagaimanapun penentunya bukanlah faktor-faktor itu sendiri. Penentu yang mutlak adalah kehendak Allah. Kerana itulah apabila al-Qur'an memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang ditonjol-kan adalah kehadiran Allah, kudrat dan iradat-Nya.
Al-Qur'an adalah sumber petunjuk bagi manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya dengan secara langsung berbentuk perintah dan larangan. Tetapi tidak sedikit pula yang disampaikan secara tidak langsung. Misalnya menerusi kisah dan sejarah. Ini bererti fungsi kisah dan sejarah dalam al-Qur'an bukan untuk lipur lara atau sekadar untuk diketahui (knowledge for the sake of knowledge), tetapi untuk menyampaikan mesej petunjuk. Al-Qur'an banyak sekali membawakan ayat-ayat yang mengajak khalayaknya merenung untung nasib umat terdahulu sambil menilai diri dengan keinsafan bahawa nasib yang sama boleh menimpa siapa sahaja yang memiliki ciri dan faktor yang sama.
Kerelevanan al-Qur'an adalah universal dan abadi. Dengan demikian petunjuk-petunjuk dari kisah dan sejarah dalam al-Qur'an sentiasa relevan bila-bila dan di mana-mana pun. Memang tabiat manusia tetap sama, tidak berubah di sepanjang zaman. Demikianlah misalnya kedurjanaan dan petualangan manusia apabila merasa kecukupan, merasa serba mampu kerana memiliki kekayaan dan kekuasaan.
Watak-watak dalam al-Qur'an seperti Namrud, Fir'aun, Qarun dan lain-lainnya, sebagai individu memang semuanya merupakan watak-watak masa lalu yang sudah ribuan tahun menghilang dari pentas sejarah. Tetapi watak-watak manusia yang mirip atau persis seperti mereka akan sentiasa bermunculan di sepanjang zaman. Dengan ungkapan lain, fenomena sosial-budaya kenamrudan, kefir'aunan dan keqarunan mungkin timbul dari semasa ke semasa.
Wassalam
Nukilan Badar_21

0 Comments:
Post a Comment
<< Home